picture

News

 

Jalan teruk di persimpangan Jalan Kim San perlu diatasi segera: Wong

Posted on 06 May 2023
Source of News: Borneo Post

Keadaan jalan yang teruk di persimpangan Jalan Kim San, Sarikei perlu diatasi segera.
 

SIBU: Senator Roderick Wong kecewa dengan pihak terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau mendakwa, kerosakan dan keadaan jalan yang teruk di persimpangan Jalan Kim San, Sarikei berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Wong mendakwa, walaupun telah melaporkan keadaan jalan teruk kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan lanjut setakat ini.

"Keadaan jalan yang teruk menyukarkan penduduk (kawasan) Kim San, jalan berlubang besar menyebabkan kereta tersangkut dan jalan berlumpur serta licin membahayakan penunggang motosikal terutama ketika hujan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau mendakwa cerun curam dan menurun membimbangkan pengguna jalan raya.

"Terutama selepas hujan lebat, kenderaan dan motosikal tidak dapat bergerak dengan selamat kerana banjir di bahagian ceruk," kata Wong.

Tegasnya, walaupun kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dijalankan, pihak berkuasa perlu sentiasa memastikan jalan sementara itu tidak membahayakan pengguna jalan raya dan keselamatan perlu diutamakan.

Oleh itu, Wong berharap pihak berkenaan dapat mengambil serius masalah itu dan bertanggungjawab ke atasnya serta tindakan sewajarnya harus diambil segera.


oleh Borhaniza Ali Basah