picture

News

 

Tindakan pantas bomba selamatkan kawasan tanah perkuburan Cina di Jalan Kelupu dari terbakar

Posted on 07 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran rumput di jalan masuk ke kawasan perkuburan Cina di Jalan Kelupu, Bintangor.
 

BINTANGOR: Tindakan pantas pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor telah berjaya menyelamatkan sebuah kawasan tanah perkuburan Cina di Jalan Kelupu dari terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, bomba telah menerima panggilan kecemasan berkaitan dengan kejadian tersebut pada jam 5.50 petang Sabtu.

"Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba bersama dengan sebuah jentera pemadam telah dikerahkan ke lokasi kebakaran yang terletak sejauh 2 kilometer.

"Ketika sampai di lokasi tersebut, anggota bomba mendapati terdapat kebakaran rumput berhampiran jalan masuk ke kawasan tanah perkuburan Cina terbabit.

"Berdasarkan situasi tersebut, anggota bomba telah bertindak memadam kebakaran tersebut dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba," kata Nicholas kepada media, pada Sabtu.

Seramai lima anggota bomba yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Bahani Bajuri telah terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.

Menurut Nicholas, usaha memadam kebakaran tersebut telah mengambil masa 10 minit sahaja.

"Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan sekitar 50 meter persegi.

"Sejurus kebakaran tersebut berjaya dipadamkan, pasukan bomba terbabit telah bertolak balik semula ke balai," jelas Nicholas lagi.


Oleh Kepu Sidi