picture

News

 

Pelajar Tingkatan 1 maut, bapa parah dalam kemalangan di Jalan KJD Julau

Posted on 08 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Kemalangan maut yang meragut nyawa seorang pelajar SMK Julau No. 2, petang Ahad.

 

JULAU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 maut manakala bapanya cedera parah setelah motosikal yang dinaiki oleh mereka terlibat dengan kemalangan di Jalan KJD Julau pada petang Ahad.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Alexsen Banyan, berusia 13 tahun, manakala bapanya berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Andam Sulin berkata, kemalangan ini dipercayai berlaku pada jam 1.40 petang.

"Dipercayai ketika kejadian, motosikal yang ditunggang oleh bapa mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pembahagi jalan.

"Bapa mangsa telah mengalami cedera parah, sementara itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan," katanya Andam dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan selanjut.

Menurut Andam, punca sebenar kemalangan ini masih lagi dalam siasatan polis.

"Kemalangan ini telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

"Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan ini, mereka boleh tampil dan menyalurkan maklumat tersebut dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Julau, Inspektor Mohamad Azri Mohd Azhar di talian 012 9059549," jelas Andam lagi.


Oleh Kepu Sidi