picture

News

 

Kerjasama masyarakat jamin pembangunan berterusan di kawasan masing-masing

Posted on 11 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Ding mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Petai, Bintangor pada Rabu.

BINTANGOR: Masyarakat perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan pembangunan berterusan di kawasan masing-masing berjalan dengan lancar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kepekaan dan penyaluran maklumat berkaitan keperluan masyarakat setempat amat perlu bagi memastikan pihak kepimpinan setempat dapat merancang setiap aktiviti pembangunan di sesebuah kawasan berdasarkan keperluan rakyat.

"Kita di peringkat kepimpinan amat memerlukan setiap maklumat dan maklum balas daripada rakyat di peringkat akar umbi yang merangkumi keperluan semasa, masalah setempat serta perancangan pembangunan yang lain.

"Melalui maklumat yang terkumpul ini, kita di peringkat kepimpinan akan merancang dan melaksanakan setiap dasar pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.

"Dengan cara ini, kita berharap ia dapat meningkatkan taraf hidup dan sosial ekonomi rakyat di lokasi berkenaan," ujar Ding.

Beliau berkata demikian dalam siri lawatan ke-11 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, iaitu di kawasan Sungai Petai, dekat sini pada Rabu.

Dalam program ini, Ding turun padang dan bergerak dari sebuah rumah panjang ke sebuah rumah panjang di kawasan-kawasan tertentu untuk bertemu penduduk bagi mendapatkan maklumat.

Menurut Ding, beliau dalam program ini telah bertemu dengan penduduk dan ketua masyarakat bagi bertanya khabar dan  mendengar sendiri masalah yang dibangkitkan para tuai rumah dan penduduk rumah panjang. 

"Selain cara ini, pihak kita turut membuka kaunter perkhidmatan masyarakat di setiap hujung minggu di kawasan Pekan Bintangor bagi membolehkan rakyat menyalurkan setiap maklumat kepada pihak wakil rakyat.

"Kita turut membuka Pusat Khidmat DUN Meradong pada setiap hari biasa bagi memberi peluang penduduk menyampaikan permohonan mereka.

"Pada masa kini, kita lebih memberikan fokus terhadap pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat bagi memastikan mereka dapat merapatkan jurang pembangunan berkaitan aspek tersebut jika dibandingkan dengan penduduk di kawasan bandar," jelas Ding.

Turut hadir ialah Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor Lau Sie Hing, Ketua Pemuda SUPP Cawangan Bintangor Ley Chee Hua dan Kapitan Wong Leh Hee.