picture

News

 

Kerajaan Sarawak giat rapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar

Posted on 12 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Ding bersama rombongan mengadakan lawatan ke sebuah rumah panjang di Ulu Stras dan Jalan KJD, Bintangor.

BINTANGOR: Kerajaan Sarawak giat merapatkan jurang pembangunan di kawasan luar bandar dan bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.

Katanya, tumpuan pembangunan terbabit merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, infrastruktur, pendidikan, sosial dan lain-lain.

"Bagi memastikan semua usaha ini berjalan lancar dan mencapai sasaran, rakyat di peringkat akar umbi perlu turut sama mengambil bahagian.

"Perkara paling penting ialah memberi sokongan padu kepada kepimpinan dan kerajaan Sarawak agar usaha dan matlamat tersebut dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat.

"Pada masa sama, kita mahu rakyat memberi maklumat kepada kita berkaitan keperluan dan masalah berlaku di peringkat akar umbi agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya ketika lawatan ke rumah panjang di Ulu Stras dan Jalan KJD di sini pada Khamis.

Dalam program tersebut, Ding bersama rombongan berjaya melawat enam rumah panjang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, melalui program bertemu secara terus dengan rakyat itu, beliau bersama pasukannya dapat mendekati rakyat bagi mengetahui secara langsung masalah yang berlaku di peringkat akar umbi.

"Setiap maklumat kita perolehi akan dikumpul dan diproses untuk dipertimbangkan bagi langkah-langkah penyelesaian.

"Justeru, bagi ketua masyarakat, ketua-ketua kampung dan tuai rumah, kita mahu mereka turut memainkan peranan dalam perkara ini dan ambil tindakan segera jika rakyat di bawah jagaan mereka mempunyai masalah.

"Kita sentiasa terbuka untuk membantu dan mengatasi setiap masalah yang berlaku," jelasnya.

Di bawah inisiatif itu, Ding bersama rombongan berjaya mengunjungi 83 rumah panjang di DUN Meradong setakat ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor Chieng Born Ong, Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor Lau Sie Hing, Bendahari SUPP Cawangan Bintangor Lee Ngin Soon, Ketua Pemuda  SUPP Cawangan Bintangor Ley Chee Hua dan Kapitan Wong Leh Hee.

oleh Kepu Sidi