picture

News

 

Bomba tangkap ular tedung di timbunan atap zink

Posted on 13 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Seekor ular tedung berjaya ditangkap oleh bomba di sebuah rumah di Kampung Gemuan, Bintangor.

BINTANGOR: Seorang penghuni dari Kampung Gemuan terkejut dengan kehadiran seekor ular dalam timbunan atap zink di luar rumahnya di sini malam semalam.

Kehadiran ular itu disedari penghuni rumah jam 7.30 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, ketika menghubungi bomba, pengadu melaporkan tidak mengetahui jenis ular itu.

"Berikutan itu, empat anggota bomba dikerahkan ke lokasi yang terletak empat kilometer dari balai.

"Ketika sampai di lokasi, anggota bomba bertindak mengenal pasti lokasi ular itu berada dan jenis ular terbabit.

"Hasil pemantauan, anggota bomba mendapati ular itu masih berada dalam timbunan atap zink di luar rumah pengadu dan mendapati jenis ular tedung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan situasi itu, anggota bomba bertindak dan berusaha menangkap ular itu menggunakan teknik menjerut.

Nicholas berkata, ular dianggarkan sepanjang lima kaki itu berjaya ditangkap dalam masa 17 minit.

"Sejurus berjaya ditangkap, ular itu dilepaskan semula ke habitat asal yang terletak jauh dari penempatan penduduk," jelasnya.

oleh Kepu Sidi