picture

News

 

Stesen Shell Wong Yuk Siew Sarikei sediakan kaunter ‘food bank’

Posted on 18 May 2023
Source of News: Utusan Sarawak
UNTUK ALBUM… Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin (tengah) bergambar bersama Pengurus Kanan Shell Timur Sdn Bhd Alex Pega (dua, kanan), Ketua Cawangan KPDN Sarikei, Mohamad Zawawi (dua, kiri) dan yang lain di Program Food Bank Malaysia bertempat di Stesen Minyak Shell Wong Yuk Siew Sarikei, hari ini. 

SARIKEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Stesen Shell Wong Yuk Siew Sarikei dan pihak Shell mengadakan inisiatif menyediakan kaunter Food Bank.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata ini bagi membolehkan mana-mana pihak industri atau individu yang ingin menyumbangkan barang-barang makanan.

“Sumbangan yang diterima ini akan diagihkan kepada orang awam yang memerlukan dan orang awam boleh mengambil sendiri barangan makanan di kaunter yang telah disediakan oleh pihak Stesen Shell Wong Yuk Siew Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program ‘Food Bank Malaysia’ adalah program kesukarelawan yang dikendalikan KPDN, dan bukan program bantuan makanan rasmi kerajaan.

Matthew berkata dalam acara pagi ini, sumbangan daripada pihak industri akan diserahkan kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Sarikei dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sarikei.

Katanya, dalam usaha memperkukuhkan Program Food Bank, KPDN memperluaskan dan mengalu-alukan sumbangan badan korporat, pemain industri sektor pemborongan, peruncitan dan katering serta orang perseorangan untuk menjadi rakan strategik Program Food Bank.

Ini bagi membantu golongan memerlukan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat bagi meringkankan bebanan kos sara hidup golongan B40.

Beliau berkata, KPDN ingin merakamkan penghargaan di atas sumbangan dan keprihatinan syarikat penyumbang dalam menjayakan program Food Bank Malaysia di Bahagian Sarikei.

Sebarang pertanyaan berkenaan Food Bank Malaysia boleh menghubungi nombor di talian 084-657751 (KPDN Cawangan Sarikei),” katanya.

Turut hadir ialah Pengurus Kanan Shell Timur Sdn Bhd Alex Pega, Pengurus Wilayah Shell Timur Sdn Bhd Maurice Chiam, Ketua Cawangan KPDN Sarikei, Mohamad Zawawi dan Pemilik Stesen Minyak Shell Wong Yuk Siew Sarikei Calvin Wong Ling Kiak.

Oleh EARL ANEK