picture

News

 

Kerjasama erat dan semangat berpasukan kukuh bawa kejayaan kepada MAKSAK Sarikei

Posted on 21 May 2023
Source of News: Utusan Borneo

Michael (lima kiri) melawat salah sebuah reruai yang turut serta pada Majlis Berlanggar Meja sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri MAKSAK Bahagian Sarikei 1444H semalam.

SARIKEI: Kerjasama erat dan semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan ahli-ahli Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sarikei telah banyak membawa pelbagai kejayaan dari semasa ke semasa.

Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgang berkata, kejayaan tersebut merangkumi pencapaian dalam jabatan, sukan dan aktiviti sosial.

"Dalam kejohanan MAKSAK Bahagian yang dianjurkan baru-baru ini, pasukan MAKSAK bahagian bola tampar kategori lelaki telah berjaya menjadi johan pertandingan dan telah dipilih untuk mewakili MAKSAK Sarawak ke peringkat kebangsaan nanti.

"Selain itu, pasukan wanita turut muncul sebagai naib johan pertandingan manakala pasukan pingpong telah muncul sebagai naib johan.

"Pencapaian ini amat memberangsangkan dan kita bangga kerana MAKSAK Bahagian Sarikei telah merancang dan akan menganjurkan pelbagai aktiviti pada tahun ini," kata Michael.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Berlanggar Meja sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri MAKSAK Bahagian Sarikei 1444H semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sentral Sarikei disertai 24 agensi kerajaan.

Menurut Michael, pada tahun ini MAKSAK Bahagian Sarikei telah merancang 10 aktiviti di peringkat bahagian dan aktiviti ini adalah yang pertama dianjurkan pada tahun ini.

"Pada kesempatan ini, saya ingin maklumkan bahawa tahun ini merupakan 60 tahun Sarawak merdeka di mana pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sama ada di peringkat negeri atau bahagian.

"Bagi bahagian Sarikei, sambutan 60 tahun Sarawak merdeka akan diadakan pada 23 hingga 25 Jun dan selain itu, bahagian Sarikei akan menerima rombongan Konvoi Kembara Sambutan 60 Tahun Merdeka pada 25 hingga 28 Jun yang akan menjelajah ke setiap daerah iaitu Julau, Pakan, Meradong dan Sarikei. 

 

"Sehubungan itu, kita ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama yang padu dan jitu daripada agensi-agensi di bahagian Sarikei untuk menjayakan sambutan tersebut nanti," ujar Michael.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penghulu Huang Tiong Kang yang mewakili Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin serta ketua-ketua jabatan kerajaan yang lain.