SARIKEI: Satu kebakaran rumput berhampiran tempat pengumpulan sampah domestik di Simpang Sare di sini dilaporkan berlaku petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, lokasi kebakaran terletak sembilan kilometer dari balai bomba.
"Bomba menerima panggilan berkaitan kebakaran itu jam 6.48 petang. Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam dikerahkan ke lokasi.
"Ketika sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api marak membakar rumput sekitar tapak pengumpulan sampah," katanya di sini hari ini.
Seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.
Menurutnya, bomba menggunakan sumber air dari jentera bomba untuk memadam kebakaran itu.
"Usaha memadam kebakaran itu berjaya dilakukan dalam tempoh lapan minit.
“Setelah memastikan tiada kebakaran lagi pasukan bomba terbabit bertolak balik ke balai," jelasnya.
oleh Kepu Sidi