picture

News

 

Henti spekulasi tentang kes kecurian di pasar raya Sarikei

Posted on 25 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
AWANG ARFIAN

SARIKEI: Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes curi di sebuah sebuah pasar raya di sini pada 22 Mei lalu. 

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Awang Arfian Awang Bujang berkata, kejadian itu tular di media sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

"Pihak polis telah menerima laporan polis berkait kejadian kes curi di salah sebuah pasar raya di sini pada 22 Mei lalu. 

"Kes ini telah melibatkan seorang wanita yang berusia 38 tahun yang juga merupakan suri rumah.

"Dalam kejadian ini, mangsa telah membuat laporan polis selepas mendapati dompet yang mengandungi sejumlah wang tunai dan dokumen peribadi dalam beg sandangnya hilang ketika hendak membuat pembayaran di sebuah kaunter di pasar raya terbabit," katanya dalam kenyataan kepada media, pada Rabu.

Berdasarkan laporan mangsa, beliau menyedari dompetnya hilang semasa hendak membuat pembayaran barang di kaunter pasar raya tersebut sekitar jam 9.15 pagi.

Menurut Awang Arfian, selepas menyedari kehilangan dompetnya mangsa telah bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sarikei pada jam 10.39 pagi.

"Berdasarkan laporan tersebut, pihak polis telah melakukan siasatan dan hasil pemeriksaan awal pihak polis menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kelihatan seorang lelaki telah mengekori mangsa semasa berada di dalam pasar raya tersebut. 

"Dalam rakaman CCTV, kelihatan zip beg sandang pengadu terbuka selepas diekori lelaki terbabit. 

"Kini kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," jelas Awang Arfian lagi.

Oleh: Kepu Sidi