picture

News

 

Warga MDS harus terus bekerjasama agar dapat beri perkhidmatan terbaik: Huang

Posted on 26 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Ahli-ahli MDS menerima sijil penghargaan atas komitmen dan kerjasama mereka selama ini pada majlis tersebut.

SARIKEI: Warga Majlis Daerah Sarikei (MDS) digesa terus bersatu dan bekerjasama agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, sikap positif dan kualiti perkhidmatan disumbangkan oleh warga MDS selama ini wajar dihargai.

"Kita amat berpuas hati dengan prestasi semua warga MDS dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi serta berharap prestasi baik ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

"Penganjuran majlis seumpama ini sangat bermakna kerana ia merupakan satu platform merasai dan menikmati suasana Hari Gawai yang secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim dan menjalinkan kemesraan antara semua pihak.

"Adalah menjadi harapan saya dengan adanya majlis ini dapat mewujudkan semangat muhibah dan harmoni antara warga MDS," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi MDS, Wong Zee Yeng pada Majlis Sekalung Budi dan Mantar Gawai MDS 2023 di di Dewan Sentral Sarikei, malam Khamis.

Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut berharap penganjuran majlis tersebut dapat mewujudkan semangat kekeluargaan.
"Melalui penganjuran majlis ini, kita dapat mendedahkan kepada kaum lain berkaitan dengan adat resam dan budaya mereka.

"Perpaduan dalam kepelbagaian inilah membolehkan kita hidup rukun damai dan harmoni dan membentuk aset ke arah kemakmuran bersama," jelasnya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kaunselor Senin Ramping, Timbalan Pengerusi MDS Misiah Abu Seman serta ahli-ahlinya.

Oleh Kepu Sidi