picture

News

 

Lelaki dilaporkan hilang ketika berburu ditemui meninggal dunia

Posted on 26 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Mangsa yang dilaporkan hilang ketika berburu disahkan meninggal dunia setelah ditemui petang Jumaat.

PAKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berburu sejak malam Khamis di kawasan hutan di Ulu Pedanum Pakan disahkan meninggal dunia setelah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihak bomba menerima panggilan berkaitan kehilangan mangsa pada jam 1.47 petang tadi.

"Sejurus menerima panggilan tersebut, tiga anggota bomba dikerahkan ke lokasi kehilangan mangsa di Rumah Gumba, Ulu Pedanum, Pakan yang terletak 31 kilometer dari balai.

"Ketika sampai di rumah panjang tersebut, pasukan bomba bersama penduduk rumah panjang serta pihak polis telah melancarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Dalam operasi tersebut, pasukan SAR berjaya menemui mangsa iaitu Tigoh Entili, 64, dalam jarak satu kilometer dari kawasan rumah panjang tersebut, dalam keadaan terbaring di pangkal sepohon pokok," kata Nicholas kepada media, hari ini.

Ketika ditemui katanya, mangsa berada dalam keadaan sempurna iaitu lengkap berbaju.

Menurut Nicholas, pada hari kehilangannya, penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa, namun gagal.

"Berdasarkan situasi tersebut, penduduk kampung bersama keluarga mangsa telah memutuskan untuk menghubungi pihak bomba bagi memohon bantuan untuk mencari mangsa.

"Berikutan penemuan tersebut, operasi SAR pada hari tersebut telah ditamatkan pada jam 5.45 petang.

"Sejurus ditemui, mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelas Nicholas.

Oleh: Kepu Sidi