picture

News

 

Gandingan dua wakil rakyat GPS bawa perubahan ke Meradong

Posted on 27 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Ding melakukan lawatan ke salah satu rumah panjang di kawasan Sungai Lemayaong, Bintangor DUN Meradong, pada Jumaat. 

BINTANGOR: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bertuah kerana mempunyai wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merangkumi peringkat Parlimen Sarikei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, gandingan dua wakil rakyat dari GPS itu banyak membawa perubahan ke kawasan tersebut dari segenap aspek pembangunan.

"Kita merancang membawa lebih banyak pembangunan di kawasan ini kerana kita mahu melihat dan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

"Dalam merealisasikan impian dan matlamat ini, kerjasama semua terutamanya ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan masyarakat setempat amat diperlukan.

"Justeru, kita mahu rakyat bersama dengan kita memainkan peranan masing-masing terutamanya menyalurkan maklumat berkaitan keperluan, masalah, kekurangan dan permohonan semasa rakyat agar tindakan segera perlu dilakukan untuk mengatasi setiap isu-isu berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan hari ke-15 beliau ke rumah-rumah panjang sekitar kawasan Sungai Lemayaong, Bintangor di DUN Meradong, pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Ding bersama rombongan berjaya melakukan lawatan kelima rumah panjang di kawasan tersebut.

Menurutnya, kerjasama semua masyarakat di DUN itu penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelan pembangunan dirancang dapat direalisasikan dengan jaya.

"Kini kita berusaha menaik taraf segala kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan ini dan berharap usaha itu mendapat sokongan penuh daripada masyarakat.

"Bagi yang mempunyai permohonan atau keperluan, kita sentiasa berusaha dan mengalu-alukan sebarang bentuk maklumat dan informasi daripada masyarakat peringkat akar umbi.

"Kita harap KMKK dan masyarakat setempat dapat bersama dengan kita mencapai visi dan misi manfaat bersama," jelasnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SUPP Bintangor, Chieng Born Ong, Kapitan Wong Leh Hee serta ahli-ahli SUPP lain.