MAJLIS PENYERAHAN SURAT LANTIKAN KETUA MASYARAKAT DAN KETUA KAUM (KMKK) BAGI KAWASAN ADUN N.41 KUALA RAJANG
Sarikei, 14 Disember 2025 - Seramai 13 orang Tuai Rumah telah menerima Surat Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam satu majlis penyerahan rasmi yang berlangsung di Sri Nyelong, Sarikei, hari ini.
Majlis penyerahan surat lantikan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang.
Turut hadir dalam majlis ialah Yang Berbahagia Datu Michael Ronnie Langgong, Residen Bahagian Sarikei, serta Yang Berusaha Encik Louis Yeo Soon Guan, Pegawai Daerah Sarikei, bersama barisan pegawai kanan dari Pejabat Daerah Sarikei dan Pentadbiran Bahagian Sarikei.
Dalam ucapannya, YB Datuk Haji Len Talif Salleh menzahirkan harapan agar para penerima lantikan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta komited. Beliau turut menekankan peranan penting KMKK dalam memelihara keharmonian, perpaduan serta memastikan kelancaran penyampaian maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat.