picture

News

 

200 penduduk bergotong-royong bersih Tanah Perkuburan Iban Balai Nyabong

Posted on 06 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Penduduk bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Iban Balai Nyabong, Roban pada Jumaat.
 

SARIKEI: Seramai 200 orang penduduk kawasan Brayang dan Seblak Hulu terlibat pada program gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Iban Balai Nyabong, Roban pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Balai Nyabong Tuai Rumah Daud Ensok berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan penduduk bagi memastikan tanah perkuburan tersebut sentiasa terurus dan terjaga.

"Kita bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

"Program ini turut menjadi landasan merapatkan hubungan dalam kalangan penduduk tanpa mengira peringkat usia.

"Kita juga gembira kerana program ini disertai pelbagai peringkat usia dan semua menunjukkan komitmen positif dalam memastikan berjalan dengan lancar," katanya di sini, pada Jumaat.

Kawasan rumah panjang terlibat dengan kerja-kerja gotong-royong di tapak perkuburan itu adalah Rumah Brayang, Sungai Wong, Dabai, Kedoh, Sungai Tapang, Mudong, Rantau Sukat dan beberapa kawasan lain.

Menurut Daud, penduduk diberikan tugasan seperti menebas semak-samun, meracun rumput dan membersih tanah perkuburan sanak-saudara masing-masing.

"Kerja pembersihan ini kita sering lakukan sebelum perayaan Hari Gawai pada awal Jun setiap tahun.

"Peluang ini juga membolehkan semua pihak berkumpul pada satu tempat, terutama bagi mereka yang sudah lama meninggalkan kampung halaman untuk bertemu sanak-saudara masing-masing yang masih menetap di kampung," jelasnya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Fridak Belik menghulurkan sumbangan sejumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Balai Nyabong bagi menjalankan aktiviti mereka.


Oleh Kepu Sidi