Profail Daerah Julau

 

Profail Daerah Julau


Profail Daerah Julau

Julau merupakan salah sebuah daerah yang terletak di Bahagian Sarikei. Daerah Julau mempunyai keluasan 1,703.39 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 15,816 orang yang terdiri daripada kaum Iban, Cina , Melayu dan lain-lain.(Sumber: Bancian Penduduk 2010).  Pekan Julau kini mudah dihubungi melalui jalan raya iaitu jaringan Lebuh Raya Pan Borneo dengan beberapa bandar lain antaranya Sarikei (66 km), Bintangor (48 km), Kanowit (39km) dan Sibu (60 km). Untuk datang ke daerah ini, anda boleh menggunakan pengangkutan seperti  van sewa atau kenderaan persendirian.  

Walau bagaimanapun, pengangkutan sungai masih dijadikan sebagai pengangkutan utama bagi penduduk kawasan pedalaman untuk ke Pekan Julau. Ia juga menerima tempias pembangunan ekonomi dengan meningkatnya aktiviti perniagaan di sini, disebabkan kedudukannya berhampiran dengan dua buah bandar utama kawasan tengah Sarawak iaitu bandar Sibu dan bandar Sarikei.

Kebanyakan penduduknya mengusahakan tanaman lada, getah, padi dan buah-buahan. Di samping itu, sesetengah penduduk juga melibatkan diri dalam  bidang perniagaan, bekerja di sektor pembalakan dan tidak terkecuali di sektor perkhidmatan awam dan juga swasta.

Daerah Julau ini terkenal dengan hasil pengeluaran lada. Di samping itu, apabila tiba musim buah-buahan, Pekan Julau ini terkenal dengan buah-buahan tempatan seperti rambutan, durian, manggis, langsat, buah dabai dan sebagainya serta pelbagai sayuran hutan.

Menariknya, suasana Pekan Julau menjadi  sibuk pada setiap hari Ahad dengan ramai penduduk dari Maradong, Sarikei, Sibu, Kanowit dan Bintagor berkunjung ke pasar minggu di situ. Seminggu sekali para petani akan berkumpul memasarkan pelbagai hasil tani atau ternakan mereka sehingga mewujudkan suasana dan pemandangan yang  sangat menarik. Malah, pekan itu akan menjadi sesak dengan pelbagai kenderaan serta orang ramai yang lalu lalang