picture

News

 

RADDA bakal lonjak pembangunan Daro

Posted on 12 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
 
Safiee (tengah) bersama hadirin pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Kampung Badong, Daro baru-baru ini.

MUKAH: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bakal melonjakkan pembangunan di kawasan Daro pada masa akan datang.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, antaranya adalah perancangan menaik taraf kawasan rekreasi Sungai Iran bernilai RM5 juta.

"Di bawah perancangan itu nanti, kita bakal menyaksikan kawasan rekreasi tersebut menjadi satu tumpuan baharu," katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kampung Badong, Daro di sini baru-baru ini.

Safiee berkata, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Badong, namun seluruh penduduk di kawasan Daro.

Katanya, peluang perniagaan dan keusahawanan juga menjadi lebih luas bagi menghasil dan memasarkan produk tempatan.

"Justeru, saya menyeru semua penduduk setempat agar sentiasa bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain.

"Perpaduan serta keharmonian harus sentiasa dijaga demi menjaga kestabilan dikecapi sekarang ini," jelasnya.

Pada majlis sama, Safiee mengumumkan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 bagi menaik taraf jalan Kampung Badong di sini.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa pihak bernilai keseluruhan RM30,000.

Turut hadir Ketua Masyarakat Daro Pemanca Lau Oi Phen dan Penghulu Yusuf Bakeri.