picture

News

 

Guru bentuk modal insan harapan bangsa, negara

Posted on 16 May 2023
Source of News: Utusan Sarawak


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir, Azeman Akel
 

SARIKEI: “Ajaran kami ada harapan, teguran kami ada doa, marah kami ada sayang, diam kami ada kebijaksanaan, tangan kami ada sahsiah terbina,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir, Azeman Akel. 

Katanya, ia bertepatan dengan tema Hari Guru bagi 2023 iaitu “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”. 

“Ajaran kami ada harapan yang menggunung tinggi untuk melihat masa depan yang cerah pelajar-pelajar kami, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang yang mereka ceburi termasuk kerjaya pada masa depan. 

“Harapan kami sebagai guru juga adalah untuk memastikan pelajar-pelajar kami tidak berputus asa dengan pencapaian mereka dalam pendidikan. Kami mahu mereka sentiasa berusaha sehabis baik dalam pelajaran mereka. 

“Setiap teguran yang kami berikan untuk pelajar-pelajar terkandung doa supaya Allah SWT melembutkan hati mereka yang keras agar dapat menerima setiap didikan guru-guru demi kejayaan mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini. 

Dalam pada itu, katanya, antara objektif Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting guru dalam masyarakat. 

“Kami sebagai guru berperanan penting dalam mendidik anak bangsa menjadi seorang insan yang berguna dalam bidang pendidikan dan juga setiap didikan agama dan moral di sekolah adalah sebagai pedoman mereka dalam kehidupan seharian. 

“Guru adalah ibarat lilin yang membakar diri. Selamat Hari Guru kepada semua rakan-rakan guru di seluruh tanah air tercinta,” katanya. 

Oleh EARL ANEK