picture

News

 

JBPM Sarikei catat 69 kes ular masuki kawasan kediaman tahun ini

Posted on 19 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Ular sawa adalah antara spesies ular yang sering ditangkap oleh pihak bomba. - Gambar fail

SARIKEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei telah merekodkan 69 kes ular yang memasuki kawasan kediaman penduduk di kawasan ini bermula awal tahun hingga bulan lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei Mahmudin Narudin berkata, berdasarkan rekod laporan yang berkaitan dengan kes ular adalah kes yang tertinggi direkodkan pada setakat ini.

"Pelbagai spesis ular telah ditangkap dan rata-rata ia melibatkan beberapa jenis ular berbisa seperti tedung dan tiong cincin emas.

"Selain itu juga, ular sawa turut menjadi sebahagian daripada spesis ular yang sering ditangkap oleh anggota bomba hasil daripada laporan penduduk.

"Keadaan cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah merupakan sebahagian daipada faktor penyebabkan ular mencari tempat berteduh termasuk di sekitar luar kawasan rumah dan dalam rumah," kata Mahmudin kepada media, pada Khamis.

Menurut Mahmudin, ular yang berjaya ditangkap kebiasaannya dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari petempatan awam. 

“Dengan kesempatan ini, kita ingin mengingatkan penduduk agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah bagi memastikan tiada haiwan liar seperti tikus yang menjadi makanan asas kepada ular ini tidak berkeliran di kawasan rumah kerana ia juga mampu menjadi penarik utama untuk ular memasuki kawasan kediaman.

"Pada Januari lalu, sebanyak 13 kes ular dilaporkan manakala Februari 25 kes, Mac 21 kes dan 10 kes pada April. 

"Maklumkan dengan segera kepada pihak bomba sekiranya ternampak ular di dalam rumah atau sekitar kawasan rumah terutama sekali yang melibatkan jenis-jenis ular yang berbisa,” kata Mahmudin lagi.


oleh Kepu Sidi