picture

News

 

Seramai 19 orang berjaya menderma darah

Posted on 22 May 2023
Source of News: Utusan Borneo

Sebahagian penderma yang hadir pada program Kempen Derma Darah anjuran BBP Sarikei dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei semalam.

SARIKEI: Seramai 19 orang telah berjaya menderma darah dalam program Kempen Derma Darah anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, seramai 20 orang telah hadir pada kempen ini dan hanya seorang tidak layak menderma darah.

"Hasil daripada program ini, kita telah berjaya mengumpul sebanyak 19 pain darah. Terima kasih kepada semua yang telah hadir menyokong program ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Kita berharap pada penganjuran yang sama pada masa akan datang, lebih ramai lagi akan tampil dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan sokongan" kata Mahmudin kepada media semalam.

Program itu telah diadakan di Bilik Kuliah Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Aktiviti berkenaan merupakan program tahunan antara pihak Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dengan Unit Tabung Darah Hospital Sarikei.

Menurut Mahmudin, objektif program adalah untuk membantu Unit Tabung Darah Hospital Sarikei mengumpul darah bagi kegunaan pesakit yang memerlukan darah.

"Selain itu juga, program ini turut menjadi platform kepada pihak bomba merapatkan hubungan dengan masyarakat dan agensi kerajaaan yang lain," tegasnya.

Kesemua darah yang dikutip pada program itu telah disumbangkan kepada Unit Tabung Darah Hospital Sarikei.