picture

News

 

Pasangan warga emas tinggal sehelai sepinggang menjelang Gawai

Posted on 25 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah persendirian di Rumah Jubang, Sungai Pinang, Ulu Pakan awal pagi tadi.

BINTANGOR: Pasangan warga emas hilang tempat tinggal dan harta benda setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 2.53 pagi.

"Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam telah dikerahkan ke lokasi kejadian iaitu di Rumah Jubang, Sungai Pinang, Ulu Pakan yang terletak sejauh 58 kilometer dari balai.

"Ketika sampai di lokasi tersebut, pasukan bomba mendapati rumah yang terbakar itu adalah sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal iaitu tingkat bawah konkrit, manakala tingkat atas kayu yang telah musnah 70 peratus dan bahagian atasnya ranap sepenuhnya.

"Berdasarkan situasi tersebut, pasukan bomba telah bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terbuka dari sungai berhampiran dengan menggunakan pam angkut," kata Nicholas kepada media, hari ini.

Dalam usaha memadam kebakaran tersebut, pihak bomba berhadapan kesukaran apabila jentera bomba tidak dapat sampai ke lokasi kerana jalan menuju ke rumah terbabit yang sempit dan jambatan yang dilalui tidak selamat.

Menurut Nicholas, pihak bomba bertindak memindahkan peralatan memadam kebakaran seperti pam angkut dan kelengkapan hos ke dalam kenderaan pikap milik Tuai Rumah Jubang.

"Dari simpang jalan utama untuk ke lokasi tersebut adalah sejauh 2.8 kilometer.

"Suami isteri terbabit yang berusia dalam lingkungan 60-an terselamat dalam kejadian ini, manakala punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih dalam siasatan," jelas Nicholas.

Tambah Nicholas lagi, usaha mengawal dam memadam kebakaran tersebut mengambil masa 40 minit.

Oleh: Kepu Sidi