picture

News

 

Jasa dan pengorbanan guru perlu dihargai: Ding

Posted on 26 May 2023
Source of News: Utusan Borneo

Majlis sambutan Hari Guru SJK dan SMK Tong Hua, Bintangor berlangsung dengan penuh meriah.

BINTANGOR: Jasa dan pengorbanan guru perlu dihargai kerana tanpa didikan mereka, tiadalah generasi cerdik pandai yang mengecapi kejayaan sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peranan guru amat penting agar anak didik mereka dapat menikmati kerjaya yang baik pada masa hadapan.

"Tidak dapat dinafikan bahawa menjadi seorang guru pada masa kini sangat mencabar kerana mereka perlu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi semasa yang berkembang pesat.

"Guru perlu sentiasa menambah nilai intelektual kerana mereka merupakan ejen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita. 

"Tugas dan tanggungjawab berat yang digalas oleh guru dalam mendidik anak-anak murid memerlukan komitmen yang sangat tinggi dan ilmu pengetahuan yang luas," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua di sebuah restoran di sini, hari ini.

Menurut Ding, tugas warga pendidik hari ini semakin mencabar dan memerlukan kreativiti dan inovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid yang lebih berkesan. 

Katanya, dalam perspektif murid-murid pula, selain mengajar mata pelajaran yang berkaitan, para guru juga berperanan sebagai rakan atau teman yang mudah dibawa berbincang dan meluahkan perasaan, terutama berkaitan pembangunan diri dan hala tuju kerjaya.

"Dalam mendepani dunia tanpa sempadan ini, corak dan gaya pengajaran guru di dalam bilik darjah seharusnya berubah seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.

"Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu, justeru perlu mempertajamkan ilmu dan kemahiran terkini berdasarkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan menterjemahkannya di dalam bilik darjah demi meningkatkan kualiti modal insan dan seterusnya membangunkan tamadun bangsa.

"Bagi ibu bapa pula, mereka turut memainkan peranan amat penting dalam asas sokongan moral kepada motivasi kanak-kanak untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum di sekolah," kata Ding.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ling Kwong Ung yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Ahli Parlimen P.208 Sarikei merangkap ADUN N.45 Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, bekas Ahli Parlimen Sarikei Andrew Wong Ling Biu, wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Meradong Dagang Bungsu dan Pengetua SMK Tong Hua Lau Suk Ngok.