SARIKEI: Lebih 100 ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Parlimen Sarikei hadir pada majlis peringatan sambutan ulang tahun ke-64 parti tersebut semalam.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, sejak penubuhan parti itu pada 1959, ia telah memperjuangkan kepentingan rakyat di negeri ini.
"Melalui peluang ini kita ingin menyeru agar legasi dalam mempertahankan perjuangan SUPP ini diteruskan oleh generasi muda.
"Usaha ini amat penting bagi memastikan SUPP terus kukuh dan berjuang untuk rakyat di negeri ini," katanya dalam ucapan ringkas pada sambutan tersebut.
Beliau berkata demikian melalui ucapan wakilnya Kapitan Ling Dien Yong.
Sambutan telah berlangsung di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Menurut Huang, perjuangan parti kini lebih memfokuskan dalam memantapkan taraf sosial ekonomi, kebajikan, pendidikan dan lain-lain.
"Oleh yang demikian, dalam merealisasikan matlamat dan visi ini, kerjasama dan komitmen semua peringkat amat diperlukan.
"Kita perlu bersatu dan memastikan perjuangan SUPP terus kukuh dan mendapat sokongan semua peringkat pada masa akan datang," ujar Huang lagi.
Majlis yang bermula jam 10.30 pagi itu dihadiri ahli SUPP Sarikei, diikuti dengan nyanyian lagu parti.
Oleh: Kepu Sidi