SARIKEI: Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei Dr Johny Kelak (gambar) menyeru orang ramai agar mengutamakan dan memastikan kualiti keselamatan makanan mereka sentiasa terjaga.
Katanya, langkah ini amat penting dalam memastikan risiko seperti keracunan makanan dapat dielakkan.
"Keselamatan makanan dapat dibahagikan kepada lima elemen iaitu pertama menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan.
"Kedua, menggunakan peralatan berasingan makanan mentah bagi mengelak pencemaran kepada makanan dimasak manakala ketiga masak makanan dengan sempurna dan pastikan dimakan dalam tempoh tidak melebihi daripada empat jam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Johny berkata, tema hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 adalah 'Food Standards Save Lives'.
Katanya, perkara ini memberi fokus kepada peranan penting standard makanan dalam menghasilkan makanan selamat dan berkualiti untuk pengguna serta melindungi kesihatan mereka.
"Bagi kunci keempat menyimpan makanan sedia dimakan pada suhu bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari dalam peti sejuk dan kunci kelima menggunakan bahan mentah segar dan air bersih.
"Pada masa sama, kita ingin mengingatkan masyarakat agar mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa.
Oleh: Kepu Sidi