News

 

Premier: Tun Taib bapa Sarawak moden

Posted on 28 Jan 2024
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mewakili rakyat Sarawak memberi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana telah mengabdikan hidupnya untuk pembangunan dan kesejahteraan negeri ini.

 

Sambil menyifatkan Tun Taib sebagai bapa Sarawak moden, Abang Johari berkata beliau memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutamanya dengan mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Sehubungan itu, beliau mewakili rakyat Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Taib yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh selama 10 tahun sejak 2014.

Mengimbau pembabitan awal Tun Taib dalam pemerintahan negeri, beliau kata Abang Johari, memulakan perkhidmatan awam pada usia muda apabila menjadi ahli Kabinet negeri pertama selepas Sarawak diberi kuasa berkerajaan sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.

Selepas itu, pada 1966 Tun Taib berpindah ke peringkat Persekutuan, berkhidmat dalam pelbagai jawatan menteri dalam kerajaan Persekutuan.
 
Beliau kembali ke Sarawak sebagai Ketua Menteri pada tahun 1981 mengambil alih daripada Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat.

 

"Sebagai Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib telah menunjukkan kualiti sebenar beliau sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama di Sarawak dengan menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah falsafah “politik pembangunan” beliau.

"Beliau memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutamanya dengan mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), beliau adalah bapa Sarawak moden," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar Abang Johari lagi, kualiti Tun Taib sebagai pemimpin yang hebat juga dicontohi dalam melahirkan pemimpin baharu seperti Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, beliau sendiri sebagai Premier dan pemimpin muda yang lain.

 

Dalam pada itu, Tun Taib digantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.