News

 

Naik taraf Masjid Al-Muttaqin Sarikei telah siap sepenuhnya

Posted on 21 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo

SARIKEI: Projek menaik taraf Masjid Al-Muttaqin Sarikei bernilai RM9.5 juta kini telah siap sepenuhnya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, masjid tersebut dapat menampung seramai 2,500 jemaah dalam suatu masa.

Katanya, bandar Sarikei mempunyai empat masjid termasuk Masjid Al-Muttaqin iaitu Masjid Ar-Rahmah Kampung Seberang, Masjid Darul Sa’adah di Susur Jambu dan Masjid Nur Permai di Nyelong by Pass dan ketiga-tiga masjid itu dinaik taraf dari surau kepada masjid semasa pandemik COVID-19 lalu. 

"Kerja-kerja pembinaan Masjid Al-Muttaqin dilaksanakan dalam dua fasa di mana Fasa 1 menaik taraf dewan bersebelahan Masjid Al-Muttaqin bermula pada 20 November 2020 dan dirancangkan siap pada 30 Mei 2021 iaitu enam bulan.

"Namun disebabkan pandemik dewan ini hanya dapat disiapkan pada 1 Mei 2022 iaitu 12 bulan manakala Fasa 2 bermula pada 1 Mei 2022 dan dijadual siap dalam tempoh satu tahun pada 30 Mei 2023. 

"Namun kerja menaik taraf Masjid Al-Muttaqin hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 31 Mei 2024 dengan tidak melibatkan penambahan kos asal," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Masjid Al-Muttaqin Sarikei hari ini.

Pada asalnya, Masjid Al-Muttaqin dibina pada 1983 dan ketika itu hanya mampu menampung 1,000 jemaah pada suatu masa. 

Pada lawatan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2019, beliau bersetuju meluluskan dana berjumlah RM9.5 juta bagi projek menaik taraf Masjid Al-Muttaqin, Sarikei.

Menurut Len, dalam pelaksanaan penambahbaikan projek ini banyak penemuan luar jangka melibatkan penambahan kos seperti kubah alam baharu, sistem kumbahan dan lain-lain dan turut mempengaruhi tempoh menyiapkan projek tersebut.

"Perhubungan kita harus akrab dan menjadikan masjid-masjid dan surau-surau yang ada sebagai pusat perpaduan dan harus dijadikan satu amalan dan diberi sanjungan tinggi. 

"Di sinilah peranan Ahli Jawatankuasa Masjid amat penting merancang dan melaksanakan program bukan sahaja berlandaskan agama tetapi melibatkan kemasyarakatan, riadah, sosial, ekonomi dan sebagainya. 

"Menerusi perjumpaan, syarahan, kuliah dan perjumpaan kalangan cerdik pandai dan masyarakat tempatan sebagai usaha mengimarahkan masjid ini untuk mengeratkan perpaduan dan silaturahim," jelasnya.

Pada majlis sama, Len turut memohon peruntukan tambahan berjumlah RM1.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pagar Masjid Al-Muttaqin.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii, Ahli Perlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie.