News

 

Warga pendidik harus kuasai teknologi digital, cipta pengalaman pembelajaran lebih dinamik: Huang

Posted on 28 Oct 2024
Source of News: Utusan Borneo

SARIKEI: Pendidikan merupakan tunjang utama dalam usaha melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing untuk menjadi pelapis negara yang berkualiti. 

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, dunia pendidikan kini juga telah beranjak ke era pendidikan digital.

"Maka, cabaran era pendidikan digital memerlukan kerjasama daripada semua pihak supaya dapat mewujudkan satu ekosistem pendidikan digital yang mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berkemahiran dalam menghadapi cabaran dunia digital. 

"Oleh itu, semua pendidik harus menguasai penggunaan peralatan digital dan teknologi digital di dalam bilik darjah supaya dapat mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik untuk murid.

"Dalam masa yang sama juga, pendidikan dan sukan tidak dapat dipisahkan, dan Program 1 Murid 1 Sukan yang telah dilancarkan oleh kerajaan sejak dari dahulu lagi telah melahirkan generasi yang sihat, cergas, dan seimbang dari segi akademik dan kokurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Majlis Makan Malam Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony Sarikei, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, wakil Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang Dr. Cindy Wong Chyee Chen, Pegawai Pendidikan Daerah Julau Dali Rain, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengetua SSM St Anthony Sarikei Liong Shou Chuan.

Huang yang merupakan Ahli Parlimen Sarikei berkata, penganjuran program PSKPP itu bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan bakat dalam bidang sukan dan kebudayaan, tetapi juga sebagai medan untuk memperkukuh kemahiran sukan dan kebudayaan.

Katanya, akal sihat adalah berpunca daripada badan yang cerdas.

"Kita semua perlu maklum bahawa betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan yang akan mengharmonikan setiap perjalanan hidup seseorang itu di samping menjalin persahabatan sesama peserta. 

"Ini ternyata bahawa bersukan bukanlah aktiviti remeh tetapi mampu memberi kita kepuasan bekerja agar lebih fokus dan kreatif dalam persekitaran yang ceria," katanya lagi.