News

 

90 tangki air diagihkan kepada penduduk Parlimen Sarikei

Posted on 08 Aug 2025
Source of News: Utusan Borneo

SARIKEI:  Sebanyak 90 buah tangki air telah diagihkan kepada penduduk di Parlimen Sarikei, semalam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,  Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan dalam mengatasi masalah tekanan rendah bekalan air terawat di beberapa lokasi di Parlimen Sarikei.

"Dalam usaha ini, sebanyak 6 buah rumah panjang telah menerima agihan tangki air tersebut.

"Antara rumah panjang yang telah menerima tangki tersebut ialah Rumah Rabeling, Rumah Keli, Rumah Sabah, Rumah Endawi Mula, Ruma Rosyvia Ubak dan Rumah Garai Chugat.

"Tangki air yang telah diperuntukkan ini adalah khusus bagi kawasan yang mengalami masalah tekanan air rendah dan tiada bekalan air terawat," jelas Huang kepada media, semalam.

Majlis penyerahan tangki tersebut telah dilakukan oleh Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Menurut Huang, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan masalah yang membelenggu rakyatnya sentiasa mendapat perhatian dan juga penyelesaian.

"Kita yakin setiap masalah yang berlaku sudah pasti ada penyelesaiannya dan bagi memastikan perkara tersebut dapat diatasi dengan sebaiknya, kerjasama semua pihak amat penting.

"Dalam masa yang sama juga, kita berharap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sesebuah Kawasan dapat memainkan peranan mereka dengan telus dan memastikan masalah yang berlaku di peringkat akar umbi dipertimbangkan dengan terurus," tegas Huang lagi.