SARIKEI: Kolej Komuniti Sarikei (KKS) mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dengan memeterai kerjasama 'Industry on Campus (IOC)' bersama Joy Bakery Sdn. Bhd.
Timbalan Pengarah KKS, Ting Ee Lee berkata, Joy Bakery Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang cukup dikenali dalam industri bakeri di Sarikei.
"Kerjasama ini, yang bermula hari ini, secara langsung membawa kepakaran industri ke dalam kampus bagi membentuk graduan Sijil Kulinari yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mahir dan relevan dengan pasaran kerja.
"Usaha ini juga merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting industri dalam kurikulum pendidikan.
"Program ini juga membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam konteks sebenar dan menguasai kemahiran yang diperlukan oleh majikan," kata Ting.
Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas kolaborasi dan penyerahan surat pelantikan Tenaga Pengajar IOC kepada Pengurus Sumber Manusia Joy Bakery, Chua Sheau Ching, dekat sini, semalam.
Dalam program ini seramai 12 orang pelajar Sijil Kulinari KKS berpeluang mendapat pendedahan secara terus dari Chua Sheau Ching mengenai ilmu dan teknik penggunaan produk yis.
Kata Ting, melalui kolaborasi ini para pelajar bukan sekadar mendengar teori, tetapi terus mengaplikasikannya.
"Kerjasama IOC ini menandakan komitmen berterusan Kolej Komuniti Sarikei dan Joy Bakery untuk membina ekosistem pendidikan yang dinamik.
"Ia bukan sahaja menawarkan peluang latihan praktikal, tetapi juga berpotensi membuka laluan kerjaya yang lebih cerah bagi pelajar.
"Inisiatif strategik ini merupakan satu model ideal dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing tinggi di Sarawak dan seluruh negara," jelas Ting lagi.